Wednesday 30 May 2012

Hanya Sebuah Rasa


Hanya Sebuah Rasa ..
Jika sedang marah, pergilah ke bilik air dan mandi. Jika ada air pancur di bilik air itu, duduk di bawah pancuran dan biarkan air membasahkan kepala dan seluruh tubuh. Mandilah seberapa lama yang anda mampu, sampai menggigil kesejukan pun boleh. Apabila tubuh sudah dilap kering selepas mandi, nescaya kemarahan juga turut reda bersama kesejukan air yang mengalir ke tubuh. Ini pesanan yang pernah disampaikan kepada saya oleh orang yang lebih berpengalaman tentang kehidupan. Saya pernah mencubanya dan Alhamdulillah, cara itu menjadi. Biarpun rasa marah masih bersisa tetapi ia tidak lagi meluap-luap seperti sebelumnya.

Jika sedang resah gelisah dan keliru, pergilah ke bilik air dan ambillah wuduk. Kemudian sujudlah kepada Allah. Berbicaralah kepada-Nya dengan sepenuh hati. Jika ingin menangis di sejadah itu menangis sepuas-puasnya kerana selepas itu, jiwa akan kembali tenang. Saya pun melakukan cara ini dan selepas itu, saya dapat berfikir dengan lebih baik.

Jika sedang di dalam dilema untuk membuat sebarang keputusan penting dalam kehidupan, bangunlah di sepertiga malam. Ketika orang lain sedang lena diulit mimpi, kita memohon pertunjuk Allah. Bersolatlah dengan jiwa yang jernih dan hati yang kosong. Pasti bantuan Allah akan kita perolehi. Petunjuk dari Allah adalah sebenar-benar petunjuk. Ramai yang telah melakukan cara ini dan mereka tidak sia-sia. Dan ketika saya sedang menghadapi situasi untuk memilih, suatu masa dulu inilah cara saya gunakan untuk merujuk. Akhirnya Allah berikan petunjuk-Nya. Semuanya berjalan lancar selepas itu.
Dan jika anda tiba-tiba berasa sebal terhadap sesuatu perkara dan menyalahkan orang lain kerana berlakunya perkara itu, cuba bersendirian di dalam bilik sambil mendengar lagu-lagu beralunan lembut, sebaik-baiknya lagu-lagu kerohanian. Jangan tidur sebaliknya bertafakur dan selidiki semula apa punca sebenar berlakunya perkara itu. Benarkah langsung tidak ada kesalahan kita di sana? Apabila kita berfikir dengan tenang tanpa emosi, pasti kita dapat jawapan bahawa kita pun tidak sesempurna mana untuk menyalahkan orang lain. Ego sebenarnya yang membesarkan amarah itu.

Sebenarnya apa pun cara yang kita lakukan dalam hidup ini, kita tidak terlepas daripada sebarang ujian, kecil mahupun besar. Namun Allah memberikan kita pelbagai cara untuk menyelesaikannya, sama ada melalui cara kita sendiri atau datanglah mengadu kepada-Nya. Apa pun cara yang kita pilih selagi pilihan itu tidak melanggar hukum-hakam agama, lakukanlah. Apa yang penting, jangan sesekali kita biarkan ia kusut di dalam hati atau fikiran, tanpa apa-apa rawatan kerana membiarkan ia `busuk’ di hati dan fikiran akan mendatangkan `penyakit serius’ di belakang hari.
Allah telah permudahkan kehidupan kita dengan pelbagai cara. Dia juga menyediakan pelbagai jalan untuk kita ikuti. Laluilah dengan betul…

Credit kepada Majalah Wanita