Hanya Sebuah Rasa ..
Jika
sedang marah, pergilah ke bilik air dan mandi. Jika ada air pancur di
bilik air itu, duduk di bawah pancuran dan biarkan air membasahkan
kepala dan seluruh tubuh. Mandilah seberapa lama yang anda mampu, sampai
menggigil kesejukan pun boleh. Apabila tubuh sudah dilap kering selepas
mandi, nescaya kemarahan juga turut reda bersama kesejukan air yang
mengalir ke tubuh. Ini pesanan yang pernah disampaikan kepada saya oleh
orang yang lebih berpengalaman tentang kehidupan. Saya pernah mencubanya
dan Alhamdulillah, cara itu menjadi. Biarpun rasa marah masih bersisa
tetapi ia tidak lagi meluap-luap seperti sebelumnya.
Jika
sedang resah gelisah dan keliru, pergilah ke bilik air dan ambillah
wuduk. Kemudian sujudlah kepada Allah. Berbicaralah kepada-Nya dengan
sepenuh hati. Jika ingin menangis di sejadah itu menangis sepuas-puasnya
kerana selepas itu, jiwa akan kembali tenang. Saya pun melakukan cara
ini dan selepas itu, saya dapat berfikir dengan lebih baik.
Jika
sedang di dalam dilema untuk membuat sebarang keputusan penting dalam
kehidupan, bangunlah di sepertiga malam. Ketika orang lain sedang lena
diulit mimpi, kita memohon pertunjuk Allah. Bersolatlah dengan jiwa yang
jernih dan hati yang kosong. Pasti bantuan Allah akan kita perolehi.
Petunjuk dari Allah adalah sebenar-benar petunjuk. Ramai yang telah
melakukan cara ini dan mereka tidak sia-sia. Dan ketika saya sedang
menghadapi situasi untuk memilih, suatu masa dulu inilah cara saya
gunakan untuk merujuk. Akhirnya Allah berikan petunjuk-Nya. Semuanya
berjalan lancar selepas itu.
Dan jika anda
tiba-tiba berasa sebal terhadap sesuatu perkara dan menyalahkan orang
lain kerana berlakunya perkara itu, cuba bersendirian di dalam bilik
sambil mendengar lagu-lagu beralunan lembut, sebaik-baiknya lagu-lagu
kerohanian. Jangan tidur sebaliknya bertafakur dan selidiki semula apa
punca sebenar berlakunya perkara itu. Benarkah langsung tidak ada
kesalahan kita di sana? Apabila kita berfikir dengan tenang tanpa emosi,
pasti kita dapat jawapan bahawa kita pun tidak sesempurna mana untuk
menyalahkan orang lain. Ego sebenarnya yang membesarkan amarah itu.
Sebenarnya
apa pun cara yang kita lakukan dalam hidup ini, kita tidak terlepas
daripada sebarang ujian, kecil mahupun besar. Namun Allah memberikan
kita pelbagai cara untuk menyelesaikannya, sama ada melalui cara kita
sendiri atau datanglah mengadu kepada-Nya. Apa pun cara yang kita pilih
selagi pilihan itu tidak melanggar hukum-hakam agama, lakukanlah. Apa
yang penting, jangan sesekali kita biarkan ia kusut di dalam hati atau
fikiran, tanpa apa-apa rawatan kerana membiarkan ia `busuk’ di hati dan
fikiran akan mendatangkan `penyakit serius’ di belakang hari.
Allah
telah permudahkan kehidupan kita dengan pelbagai cara. Dia juga
menyediakan pelbagai jalan untuk kita ikuti. Laluilah dengan betul…
Credit kepada Majalah Wanita